Thursday, April 8, 2010

Berita Harian: 25 Mac 2010 Utara: Pantau najis babi Sungai Kereh

KEPALA BATAS: Pencemaran najis babi di Sungai Kereh, di sini, yang menghantui lebih 2,000 penduduk di lima kampung sejak 30 tahun lalu, mulai mendapat perhatian selepas masalah itu disiarkan akhbar ini.


Meskipun masalah itu pernah dibangkitkan dan berpuluh laporan dibuat kepada jabatan dan agensi berkaitan sebelum ini dan tiada penyelesaian dicapai, kali ini mungkin pendekatan yang lebih positif akan dilakukan.

Kampung yang terjejas akibat pencemaran najis babi itu adalah Kampung Air Melintas Kecil dan Besar, Permatang Berangan, Pokok Tampang dan Kampung Tok Bedu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin bersama Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr Wan Muhamad Kamil Wan Nik, pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran, 'turun padang' untuk mendapatkan maklumat terkini masalah itu.

Roslan mahu jabatan berkaitan dan pihak berkuasa tempatan bertindak tegas bagi menyelesaikan pencemaran air Sungai Kereh.

"Kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab dan mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah itu kerana ia membabitkan kepentingan petani dan penduduk," katanya.

Roslan berkata, sudah sampai masanya tindakan tegas dilakukan pihak berkaitan demi kepentingan penduduk termasuk pesawah padi yang terjejas teruk apabila air sungai memasuki sawah masing-masing.

Katanya, kerajaan mengeluarkan pelbagai bantuan kepada petani tetapi mereka mengalami kerugian apabila air sungai yang tercemar memasuki sawah.

Sehubungan itu, beliau mahu jabatan berkaitan serta kerajaan negeri bekerjasama menanganinya, dan jika perlu membina parit khusus untuk mengalirkan najis haiwan itu.

"Saya tidak mahu masalah ini berlarutan kerana tiada tindakan susulan. Jika projek tebatan banjir Sungai Muda dan Sungai Prai membabitkan kos berbilion ringgit boleh dilaksanakan kenapa projek mengatasi pencemaran Sungai Kereh tidak boleh dilakukan," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Muhamad Kamil menjelaskan, sebanyak 86 ladang dengan 100,000 ekor babi diternak di Kampung Selamat yang menyumbang kepada pencemaran sungai itu.

Katanya, pihak berkenaan sudah dinasihatkan supaya menggunakan kolam kumbahan sedia ada untuk proses tapisan air sebelum dilepaskan ke sungai.

"Pencemaran boleh dikurangkan melalui tindakan bersama dan penguatkuasaan lebih tegas kerana air najis haiwan itu mengandungi oksigen yang tinggi sehingga menyebabkan pokok padi rosak," katanya.

Ahli Jemaah Pengurusan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, Mohamad Razi Osman, berkata setiap kali berlaku pencemaran, tanaman padi yang diusahakan PPK menurun hasilnya.

"Kami kecewa kerana pihak berkaitan tidak berusaha mengatasi pencemaran itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

My Blog List

Site Info

Followers

Dato' Roslan Saidin Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template