Thursday, April 8, 2010

Akhbar: Majlis Berkhatan Parlimen Kepala Batas

270 Kanak-kanak Berkhatan Di Parlimen Kepala Batas
KEPALA BATAS, 10 Dis (Bernama) -- Sebanyak 270 kanak-kanak lelaki di Parlimen Kepala Batas akan dikhatankan secara beramai-ramai pada Program Kesihatan Masyarakat 1Malaysia di Kompleks Sukan Komuniti Lahar Tiang, di sini pada Ahad ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin berkata, daripada jumlah itu, 160 orang akan berkhatan menggunakan cara tradisional yang dikendalikan oleh empat orang Tok Mudim manakala bakinya berkhatan secara moden.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata, 12 pegawai perubatan akan mengendalikan proses berkhatan secara moden di kompleks itu.

"Acara ini merupakan antara aktiviti yang diatur sempena Program Kesihatan Masyarakat 1Malaysia yang bermula pada pagi Ahad itu dan berakhir pada keesokan harinya," katanya.

Katanya, program kesihatan anjuran bersama Pusat Khidmat Anggota Parlimen Kepala Batas, Lembaga Pelawat dan Hospital Kepala Batas itu juga akan dihadiri oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, anggota parlimen kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa program berkenaan, Mohd Naser Talib berkata, selain acara berkhatan, beberapa aktiviti lain juga diadakan termasuk senamrobik, kempen derma darah, ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan, ceramah 1Malaysia dan kenduri rakyat dijangka dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Menurutnya, persembahan hiburan oleh masyarakat setempat serta cabutan bertuah akan diadakan pada sebelah malamnya dan sebelum bersurai pada keesokan harinya, masyarakat setempat akan bersolat subuh secara berjemaah serta menghadiri kuliah subuh.

-- BERNAMA

Rancangan Tebatan Banjir sungai Muda

Majlis perasmian Asiatica Organic House-@ Bertam


Majlis perasmian Asiatica Organic House dirasmikan oleh YB Hj Roslan Saidin.

Utusan Malaysia 5 Mac 2010: Agensi kerajaan perlu turun padang

KEPALA BATAS 4 Mac - Jabatan dan agensi kerajaan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) digesa lebih kerap turun padang untuk bertemu masyarakat setempat bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin yang mahu agensi kerajaan terbabit lebih prihatin dengan nasib golongan berkenaan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, pihak Pusat Khidmat DUN dan Parlimen Kepala Batas sentiasa mengalu-alukan kehadiran agensi terbabit untuk bekerjasama meninjau seterusnya menghulurkan bantuan khususnya kepada golongan miskin dan ibu tunggal.

"Contohnya hari ini saya bersama pihak Kemajuan Masyarakat (Kemas) SPU mengadakan program Pautan Kasih di sekitar Kampung Pokok Jeneris dan Kampung Tasek di DUN Pinang Tunggal ini.

"Kami melawat 15 buah rumah orang miskin serta ibu tunggal dan menghulurkan sumbangan hamper serta wang tunai kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat warga emas, Puteh Napiah, 80, di Kampung Pokok Jeneris di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Kemas Daerah SPU, Nor Fadhilah Kamahijaz.

Tambah Roslan, program itu adalah kali pertama diadakan bersama Kemas dan akan diteruskan di beberapa kampung lain di sekitar kawasan tersebut.

Jelasnya, ia diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kubang Menerong bagi membantu golongan yang memerlukan.

Sementara itu, bagi Kamis Bakar, 73, kehadiran ADUN Pinang Tunggal itu amat menggembirakan kerana sejak kakinya dipotong akibat kencing manis tiga tahun lalu, tiada sebarang bantuan diterima daripada mana-mana pihak berkaitan.

Berita Harian: 25 Mac 2010 Utara: Pantau najis babi Sungai Kereh

KEPALA BATAS: Pencemaran najis babi di Sungai Kereh, di sini, yang menghantui lebih 2,000 penduduk di lima kampung sejak 30 tahun lalu, mulai mendapat perhatian selepas masalah itu disiarkan akhbar ini.


Meskipun masalah itu pernah dibangkitkan dan berpuluh laporan dibuat kepada jabatan dan agensi berkaitan sebelum ini dan tiada penyelesaian dicapai, kali ini mungkin pendekatan yang lebih positif akan dilakukan.

Kampung yang terjejas akibat pencemaran najis babi itu adalah Kampung Air Melintas Kecil dan Besar, Permatang Berangan, Pokok Tampang dan Kampung Tok Bedu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin bersama Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr Wan Muhamad Kamil Wan Nik, pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran, 'turun padang' untuk mendapatkan maklumat terkini masalah itu.

Roslan mahu jabatan berkaitan dan pihak berkuasa tempatan bertindak tegas bagi menyelesaikan pencemaran air Sungai Kereh.

"Kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab dan mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah itu kerana ia membabitkan kepentingan petani dan penduduk," katanya.

Roslan berkata, sudah sampai masanya tindakan tegas dilakukan pihak berkaitan demi kepentingan penduduk termasuk pesawah padi yang terjejas teruk apabila air sungai memasuki sawah masing-masing.

Katanya, kerajaan mengeluarkan pelbagai bantuan kepada petani tetapi mereka mengalami kerugian apabila air sungai yang tercemar memasuki sawah.

Sehubungan itu, beliau mahu jabatan berkaitan serta kerajaan negeri bekerjasama menanganinya, dan jika perlu membina parit khusus untuk mengalirkan najis haiwan itu.

"Saya tidak mahu masalah ini berlarutan kerana tiada tindakan susulan. Jika projek tebatan banjir Sungai Muda dan Sungai Prai membabitkan kos berbilion ringgit boleh dilaksanakan kenapa projek mengatasi pencemaran Sungai Kereh tidak boleh dilakukan," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Muhamad Kamil menjelaskan, sebanyak 86 ladang dengan 100,000 ekor babi diternak di Kampung Selamat yang menyumbang kepada pencemaran sungai itu.

Katanya, pihak berkenaan sudah dinasihatkan supaya menggunakan kolam kumbahan sedia ada untuk proses tapisan air sebelum dilepaskan ke sungai.

"Pencemaran boleh dikurangkan melalui tindakan bersama dan penguatkuasaan lebih tegas kerana air najis haiwan itu mengandungi oksigen yang tinggi sehingga menyebabkan pokok padi rosak," katanya.

Ahli Jemaah Pengurusan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, Mohamad Razi Osman, berkata setiap kali berlaku pencemaran, tanaman padi yang diusahakan PPK menurun hasilnya.

"Kami kecewa kerana pihak berkaitan tidak berusaha mengatasi pencemaran itu,” katanya.

Lawatan Pautan Kasih


Datuk Roslan Saidin (kiri) melawat penduduk Kg Tasek, Kamis Bakar, 73, yang menghidap kencing manis sehingga kakinya terpaksa dipotong dalam lawatan Pautan Kasih sambil diperhatikan Penyelia Kanan Kemas Parlimen Kepala Batas, Mohd Roslan Shuib (kanan) di Pinang Tunggal. Turut serta Datin Zarina, berbaju biru.

Sambutan Maulidur rasul di Pokok jenereh

Datuk Roslan Saidin bersama-sama penduduk memasak gulai daging untuk jamuan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Kadun Pinang Tunggal di Pokok Jenereh, Tasek Gelugor.

Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (baju kuning), Abd Hamid Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri (JKKN), Abd Latif Wan Chik.
 

My Blog List

Site Info

Followers

Dato' Roslan Saidin Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template